KUALA LUMPUR – Seorang jurukimpal terpaksa meringkuk dalam penjara selama lima tahun atas kesalahan mengendalikan harta pengganas dengan membenarkan kemasukan wang dalam akaun banknya dan memiliki video kumpulan pengganas.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosdy Benjamin, 45, selepas bapa tiga anak itu mengaku bersalah atas 16 pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 24 Ogos 2023.
“Saya mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan yang tertuduh lakukan adalah serius.
“(Oleh itu) Mahkamah perlu memberi hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu dan kepada orang lain yang ingin melakukan kesalahan serupa,” katanya.
Rosdy didakwa mengendalikan harta dua individu berkaitan pengganas dengan cara membenarkan kemasukan wang RM63,450 dan pengeluaran RM62,801.06 dari akaun bank milik tertuduh untuk manfaat pengganas tersebut.
Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Pasir Gudang, Johor antara 25 Februari dan 3 Jun 2016 mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda dan boleh dirampas apa-apa harta yang dikenalikan.
Lelaki itu juga didakwa memiliki dua video berkaitan Daesh dalam telefon bimbit di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor Bahru pada 24 Ogos 2023. Dia didakwa mengikut Subseksyen 130JB(1) (a) Kanun Keseksaan.
Terdahulu Rosdy yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan ia kesalahan pertama selain mempunyai tanggungan isteri dan empat anak.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Mariam Jamielah Ab Manaff memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan itu.
Mengikut fakta kes, pada 24 Ogos 2023, anggota Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman membuat tangkapan ke atas tertuduh di Taman Scientex kerana terlibat dalam aktiviti pembiayaan keganasan.
Hasil siasatan oleh pegawai penyiasat mendapati tertuduh telah mengendalikan harta pengganas melalui 15 transaksi. – KOSMO! ONLINE