LAS VEGAS, Nevada – Seorang jutawan di Las Vegas yang memiliki simpanan £3.5 juta (RM19.4 juta) di bank mengaku pernah menghidangkan makanan kucing kepada tetamu kerana ia lebih menjimatkan, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Aimee Elizabeth yang muncul dalam rancangan televisyen saluran TLC, Extreme Cheapskates mampu berjimat £146,000 (RM807,346) setahun kerana bersikap bakhil.
Wanita berusia 50 tahun itu mendedahkan dia hanya akan beli barangan terpakai dan tidak membuang mana-mana peralatan yang sudah buruk kerana enggan membazir.
“Saya hanya ada sebilah pisau di dapur dan setiap kali selesai menggunakannya, saya hanya mengelapnya dengan kain kerana tidak mahu membazirkan air untuk membasuhnya.
“Saya juga akan membuka suis pemanas air selama 22 minit setiap pagi dan akan terus menutupnya selepas mandi,” katanya.
Menurut Elizabeth, rumahnya kelihatan mewah kerana ia adalah pemberian bekas suami, Michael Murray selepas bercerai kerana bimbang wanita itu akan tinggal di hotel murah seumur hidup.
Murray masih berkunjung ke rumah jandanya sekali sekala untuk membantu dia membersihkan rumah secara percuma.
Skim jimat wang Elizabeth yang paling menarik ialah memilih makanan kucing untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumahnya.
Katanya, cara itu boleh menjimatkan belanja AS$0.30 (RM1.20) berbanding harga ikan tuna sebenar. – Agensi