IPOH – Seorang lelaki maut akibat renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Persiaran Rishah 27, Taman Silibin Ria berhampiran sebuah stesen minyak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat itu dilaporkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 6.07 petang.
Katanya, berdasarkan siasatan, terdapat saksi yang melihat dan membuat rakaman video kegiatan si mati dan seorang lagi suspek memotong kabel TNB.
“Ketika memotong kabel tersebut, kabel itu tiba-tiba meletup mengakibatkan kedua-dua suspek pengsan namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia.
“Rakan si mati yang sedar dari pengsan kemudiannya melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda C100,” katanya di sini hari ini.
Menurut Abang Zainal, semakan mendapati si mati mempunyai 10 rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah kekerasan dan harta benda.
Katanya, pihak TNB telah membuat laporan mengenai kecurian tersebut dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE