TALLAHASSEE, Florida – Sekeping foto jerung tular di media sosial dikatakan menyerupai wajah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menurut laporan akhbar The Sun UK kelmarin.
Jerung yang tidak didedahkan spesiesnya itu dianggarkan berukuran sepanjang 2.7 meter.
Imej tersebut memaparkan haiwan pemangsa itu di bawah permukaan air dengan mulut terbuka seolah-olah bersedia untuk melakukan serangan.
Gambar tersebut dirakam oleh jurugambar dan juruvideo bernama Tanner Mansell, 27, dari Jupiter di Florida semasa dia menyelam di kawasan perairan pinggir bandar itu pada 19 Disember tahun lalu.
Sehingga semalam, foto itu menerima lebih 31,000 tanda like daripada netizen yang mengakui jerung itu mirip wajah Trump.
“Nampaknya ada jerung bernama Donald Trump,” tulis seorang pengguna di Twitter.
Bagaimanapun, ada beberapa pelayar internet mendakwa foto itu disunting menggunakan aplikasi Face Swap untuk ‘memindahkan’ wajah Trump kepada jerung berkenaan.
Mansell berkata, dia tidak menyangka foto yang dirakam secara tidak sengaja itu menimbulkan pertikaian di media sosial.
“Saya terkejut melihat jumlah komen mengenai Trump. Pada mulanya, saya tidak menyedari persamaan berkait wajah Trump.
“Saya fikir ia agak lucu dan unik. Saya belum pernah mendengar orang membandingkan jerung dengan wajah seseorang manusia,” ujarnya. – Agensi