KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tetap akan meneruskan program pecah tanah di tapak Masjid Madani Jalan Masjid India yang akan berlangsung Khamis ini.
Menurut beliau, kawasan berdekatan sesak dan satu masjid baharu diperlukan di lokasi tersebut bagi menampung umat Islam yang mahu beribadah.
“Kawan-kawan saya pun kata, ‘Anwar tukarlah nama masjid’. Jadi pemimpin bacul, bukan kita lakukan kesalahan. Tanah itu pemiliknya saya ‘check’ (periksa) semua betul. Mesti ada pendirian untuk memimpin, kena tegas hal sedemikian.
“Jangan zalim, jangan aniaya, jangan robohkan, tapi jangan tak lakukan apa-apa. Kawasan masjid berdekatan sesak, perlukan tempat baharu.
“Sebab itu saya teruskan untuk meletakkan batu asas masjid pada 27 haribulan (Mac). Saya minta jawatankuasa kuil, seperti mana mereka lakukan. Runding dengan baik,” katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 Tahun 2025 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Anwar berkata, rundingan secara baik telah dilaksanakan termasuk oleh menteri terlibat dan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Bila kebenaran masjid ini diluluskan? 2019, tahu Perdana Menteri masa tu? Bila diberikan kebenaran pembangunan? 2020 Perdana Menteri yang baharu ambil alih.
“Bila diluluskan kebenaran mula membangunkan? 2021, Perdana Menteri satu lagi. Yang salah Perdana Menteri sekarang,” katanya.
Beliau berkata, Islam adalah agama Persekutuan dengan umatnya adalah majoriti di negara ini.
“Jangan anggap kita lemah. Tapi kita tak gunakan itu (Islam) untuk tekan sesiapa. Yang majoriti dalam negara iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, mesti ikut hukum dan undang-undang.
“Yang minoriti pun tunduk pada undang-undang. Kita tidak boleh menzalimi majoriti begitu juga sebaliknya. Kita akan pertahankan nilai Madani, saya pilih untuk jelaskannya dengan baik dan beri mesej,” katanya.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pembangunan tanah milik sebuah syarikat swasta di Jalan Masjid India, yang sebahagian kecil menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat itu bagi memastikan penganut Hindu dapat menjalankan aktiviti keagamaan dengan selesa dan harmoni. – KOSMO! ONLINE.