NEW DELHI – Seorang isteri di Bakani, India, menggigit lidah suaminya sehingga terpaksa dijahit selepas mereka bergaduh pada lewat malam, lapor portal berita India Today semalam.
Kanhayalal Sain dari bandar Bakani telah berkahwin dengan isterinya, Ravina Sain selama satu setengah tahun lalu walaupun pasangan itu dikatakan tidak serasi.
Seorang pegawai polis, Asisten Sub Inspektor Brijraj Singh berkata, wanita itu didakwa menggigit sebahagian daripada lidah Kanhayalal kerana marah.
Punca pergaduhan mereka bagaimanapun tidak dinyatakan.
Keluarga mereka bergegas membawa mangsa ke hospital tempatan sebelum dia dirujuk ke sebuah kolej perubatan di Jhalawar.
“Menurut ahli keluarga, doktor memaklumkan bahawa lidah Kanhayalal boleh dijahit kembali,” kata Brijraj.
Ravina kini disiasat atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah terhadap suaminya. – AGENSI