Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Siapa sangka wanita berkelulusan dalam jurusan seni bina yang bercita-cita menjadi arkitek tidak kesampaian kerana minatnya untuk memiliki perniagaan dengan menjual martabak adalah lebih mengujakan.
Martabak yang dijual oleh syarikat bumiputera, I-On Enterprise, milik Rahayu Usop, 38, itu bukan calang-calang kerana makanan tersebut kini telah berjaya menembusi pasar raya besar seperti Tesco dan Mydin.
Malah produk makanan itu juga bakal diperluas pasarannya melalui kerjasamanya dengan Shell Malaysia yang melibatkan hampir 650 cawangan stesen minyak itu di seluruh negara.
Bagaimanapun kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan projek usaha sama itu ditunda buat sementara waktu selain syarikat juga terpaksa menggantung operasi untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf fasiliti kilang ekoran permintaan pasaran yang semakin bertambah.
Bagi mempelbagaikan perniagaannya, Rahayu yang pernah bekerja sebagai pelukis pelan selama hampir dua tahun itu telah membuka sebuah restoran, Murtabak Mix’z Up di Kepala Batas baru-baru ini.
“Mujurlah restoran itu dapat menampung sedikit sebanyak kos operasi meskipun hasil jualan syarikat turun mendadak sehingga 65 peratus berbanding sebelum PKP yang bermula pada 13 Januari lalu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Perniagaan yang diusahakan oleh ibu kepada lima orang anak itu turut mendapat sokongan daripada suaminya, Megat Ardy Megat Aziz, 42.
Jelas beliau, impiannya kini berjaya direalisasikan setelah berusaha gigih belajar untuk menghasilkan martabak istimewa menggunakan resipi daripada ibu mertuanya, maka perniagaan mereka kini telah mendapat sambutan baik dan berjaya memenuhi selera masyarakat pelbagai kaum.
Rahayu menerangkan, I-On Enterprise yang mendapat bimbingan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menawarkan lima jenis martabak.
Ia terdiri daripada murtabak keju lava ayam, murtabak keju lava daging, murtabak lava ayam, murtabak lava daging serta murtabak dengan kepingan daging kambing.
Melalui kapasiti pengeluaran antara 2,000 hingga 2,500 sebiji sehari secara purata, produk itu dijual pada harga antara RM10.90 hingga RM12.90 untuk satu pek.
Tambah beliau, dengan dibantu sembilan kakitangannya, syarikat bercadang untuk mengembangkan aktiviti perniagaannya pada masa depan.
“Kalau ikutkan, macam-macam nak buat untuk syarikat termasuk membuka satu atau dua buah cawangan, menambah lagi menu martabak dan juga membesarkan kilang.
“Apapun, saya perlu melihat dan memantau perkembangan ekonomi semasa bagi memastikan projek yang dirancang bersama Shell dilaksanakan terlebih dahulu sebelum memikirkan projek lain,” katanya.