fbpx

Dakwaan terhadap pewaris empayar Red Bull digugurkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VORAYUTH

BANGKOK – Pertuduhan terhadap pewaris empayar Red Bull yang didakwa membunuh seorang anggota polis dalam kes langgar lari melibatkan kereta Ferrari yang dipandunya pada tahun 2012 telah digugurkan, kata beberapa pegawai semalam tanpa penjelasan lanjut.

Vorayuth ‘Bos’ Yoovidhya melarikan diri ke Singapura dengan menaiki jet peribadi dalam tahun 2017, beberapa hari sebelum waran tangkap berhubung insiden tersebut dikeluarkan.
Waran tangkap terhadap Vorayuth dikeluarkan lima tahun selepas dia didakwa melanggar dan menyebabkan kematian anggota polis terbabit dekat pekarangan rumahnya di kejiranan paling mewah di Bangkok.

Beberapa dakwaan terhadap Vorayuth telah tamat tempoh selepas mengambil kira selang masa kemalangan dan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap dirinya.

Polis Thailand berkata semalam bahawa baki pertuduhan termasuk memandu secara cuai telah digugurkan beberapa tahun sebelum dakwaan itu tamat tempohnya.

“Pada Jun tahun ini, kami menerima surat dari pejabat peguam negara menyatakan bahawa pihaknya menggugurkan dakwaan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian,” kata jurucakap polis, Krissana Pattanacharoen kepada pemberita.

“Polis bersetuju dengan peguam negara,” ujarnya sambil menambah, langkah seterusnya adalah untuk menarik balik waran tangkap dan notis polis antarabangsa Interpol terhadap Vorayuth.

Menurut Krissana, polis tidak tahu di mana Vorayuth berada buat masa ini, tetapi enggan mengulas mengapa kes itu digugurkan.

Lapan tahun selepas insiden tersebut, ketua jurucakap polis, Leftenan Jeneral Piya Uthayo berkata, kes itu boleh dibuka semula jika ada bukti baharu.

Setakat ini, lokasi keberadaan Vorayuth tidak dapat dipastikan, tetapi bilionair itu pernah dirakam menjalani kehidupan mewah di London.

Keluarga ahli perniagaan itu mewarisi kekayaan yang dibina oleh datuknya, Chaleo Yoovidhya yang merupakan pengasas bersama jenama Red Bull dengan warga Austria, Dietrich Mateschitz dalam tahun 1980-an.

Chaleo meninggal dunia pada Mac 2012, manakala keluarganya mewarisi sekitar AS$22 bilion (RM93.7 bilion) dan kawalan ke atas lebih 50 peratus kepentingan dalam empayar minuman tenaga itu, demikian menurut Bloomberg News. – AF

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI