MELAKA – Keseronokan sembilan tokan dadah berpesta meraikan sambutan hari jadi bertukar kecoh apabila kesemua mereka dicekup sepasukan polis dalam serbuan di sebuah apartment di Taman Kota Laksamana, di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang, kesemua suspek termasuk seorang wanita yang berusia antara 18 hingga 25 tahun itu ditahan dalam keadaan sedang berkhayal.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, terdahulu tujuan serbuan itu dilakukan adalah bagi menumpaskan sindiket penipuan pelaburan.
Jelasnya, pemeriksaan oleh sepasukan unit risikan dan operasi JSJK dilokasi bagaimanapun tidak menjumpai sebarang petunjuk berkaitan kegiatan sindiket itu, sebaliknya menemukan tiga plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah disyaki jenis ketamin seberat 55 gram.
“Tujuan asal serbuan itu adalah bagi mematahkan sindiket penipuan pelaburan, namun apabila tiba di premis tersebut pasukan kita menjumpai dadah disyaki ketamin yang disorok di bawah katil di sebuah bilik.
“Susulan itu, sembilan individu yang berada di dalam premis dan dipercayai merupakan tokan dadah telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hasil soal siasat, premis tersebut merupakan sebuah rumah inap yang disewa suspek bagi meraikan hari jadi salah seorang daripada mereka.
“Saringan ujian air kencing kesemua mereka turut didapati positif dadah jenis ketamin.
“Kesemua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan,” katanya. – K! ONLINE