fbpx

Lakonan buat Yuna Rahim jadi ‘cantik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUNA RAHIM

MASIH segar dalam ingatan, lebih tiga tahun lalu dia tergerak hati untuk cuba menjadi pelakon dengan membintangi sebuah filem pendek berjudul Ngelamun bagi membantu projek rakannya.

Pada waktu tersebut, penglibatannya dalam projek berkenaan tidak berbalas bayaran waima sesen pun. Pendek kata, sekadar ‘amal jariah’.

Tanpa disangka, filem pendek berkenaan kemudian tular sehingga membuatkan namanya mula menjadi perhatian sebelum dilamar beberapa buah rumah produksi.

MENURUT graduan Universiti Kolej Damansara Utama (KDU), kampus Glenmarie, Shah Alam, Selangor itu, biarpun pacuan kariernya masih berentak perlahan, namun dia tetap tegar berdiri mencari jati diri sebagai anak seni.

Itu catatan ringkas kisah perjalanan karier seni pendatang baharu yang menggunakan nama pentas Yuna Rahim di persada dunia lakonan.

Yuna, 26, perlahan-lahan mencari ruang menempatkan diri dalam industri komersial selepas muncul dalam telefilem Rasuk dan Kasut pada 2017.

Memulakan cerita, pemilik nama lengkap Sharifah Husna Rahim itu mengakui, dia langsung tidak pernah berminat dengan dunia lakonan kerana di sekolah, dia merupakan seorang budak nakal.

Apatah lagi dia membesar dengan empat orang adik-beradik lelaki membuatkan kehidupannya diwarnai dengan corak pergaulan yang agak lasak dan sukar berkawan dengan rakan sejenis.

“Kehidupan saya memang macam budak lelaki. Saya kasar orangnya. Jika sesiapa yang kenal saya dari kecil, memang mereka tahu saya berperwatakan kasar.

“Sebab itu apabila masuk ke dalam dunia hiburan dan berlakon, ramai yang tidak sangka dan pelik bagaimana seorang yang kasar seperti saya boleh jadi cantik-cantik seperti perempuan normal lain,” katanya berseloroh ketika membuka gelanggang bicara.

KURANG pengalaman dalam lakonan, kekurangan tersebut tidak pernah membuatkan Yuna berasa sukar mendalami watak dalam sesebuah karya yang dibintanginya.

Dunia sukar

Berbekalkan pengalaman cetek, Yuna mengakui dia terjun ke dalam bidang glamor tanpa ada ilmu lakonan.

“Sepanjang berlakon, saya buat dan redah sahaja tanpa fikir apa-apa. Sehinggalah ketika berpeluang membintangi filem Pusaka pada 2019, barulah saya sedar erti lakonan yang sebenar.

“Waktu itu, saya faham bahawa seorang pelakon perlu faham dan mendalami karakter dengan betul. Dari situ jugalah saya mula ambil kelas lakonan dan perlahan-lahan menimba ilmu,” ujarnya yang pernah belajar kelas lakonan bersama pelakon Fatimah Abu Bakar.

Warna kariernya masih hijau. Belum cukup ranum atau dalam bahasa mudah, belum layak untuk berlapang dada dengan kedudukan yang selesa dan dipuja ramai peminat.

 

Tajaan busana: Marks & Spencer Malaysia Instagram: @marksandspencer_my Tajaan solekan: Ayu Kirana Instagram: @sentuhanayukirana

Akui pelakon berketinggian 163 sentimeter (cm) itu, dunia lakonan bukanlah mudah seperti yang disangka ramai orang, lebih-lebih lagi golongan muda.

Anak ketiga daripada enam beradik itu sendiri mengakui terpaksa melalui tempoh mencabar ketika awal pembabitannya dalam industri dengan melakukan kerja sampingan di francais Starbucks.

“Ramai orang muda cakap mereka teringin berlakon sebab mahu jadi terkenal. Sejujurnya, tahun pertama jadi pelakon sangat sukar bagi saya.

“Sampaikan terpaksa bekerja sambil berlakon. Ketika cuti, saya gunakan masa dengan menjalani penggambaran. Sebab keluarga saya sejenis yang mengamalkan konsep perlu berdikari sekiranya sudah dewasa,” kata Yuna yang semakin mencipta nama selepas muncul dalam drama Sweet Dreams dengan memegang watak Cempaka, adik kepada Mira Filzah pada 2019.

MASIH tebal dengan perwatakan kasar, Yuna mengakui dia kini mencuba hobi baharu dengan bermain papan selaju pada waktu senggang. – SHIDDIEQIIN ZON

Bukan kejar glamor

Menurut bekas graduan Universiti Kolej Damansara Utama (KDU), kampus Glenmarie, Shah Alam, Selangor itu, biarpun pacuan kariernya masih berentak perlahan, namun dia tetap tegar berdiri mencari jati diri sebagai anak seni.

Sementelah suasana negara yang sedang digegarkan dengan peningkatan jumlah kes harian Covid-19 sehingga memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua, dunia hiburan amnya turut terkesan.

“Saya percaya dan yakin, Tuhan akan buka rezeki walaupun rasa susah macam mana sekali pun. Apa yang penting, kita perlu yakin, itu sahaja.

“Pokoknya, kami sebagai pelaku seni perlu belajar untuk mengamalkan gaya hidup dalam keadaan norma baharu. Kalau kita rasa susah, ada lagi yang jauh lebih terseksa di luar sana,” ujarnya yang kini sedang menghiasai drama Angkara Cinta yang bersiaran menerusi Astro Prima.

Atas keyakinan menggunung, Yuna tidak menyangka rezeki Tuhan hadir dalam hidupnya apabila tercalon bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH33) tahun lalu.

DEMI memberi komitmen penuh untuk drama Angkara Cinta yang bersiaran sebanyak 70 episod, Yuna terpaksa menolak beberapa tawaran lain.

Ceritanya, dia sendiri tidak mengetahui tentang perkara tersebut sebelum dimaklumkan rakan pelakon Hun Haqeem yang sama-sama terlibat dalam Angkara Cinta.

“Mula-mula saya ingatkan Hun main-main sahaja. Selepas tahu tercalon, tidak pernah saya letakkan apa-apa harapan untuk menang.

“Sebab usia karier saya baru setahun jagung dan perjalanan ini masih panjang ke depan. Jadi saya tidak kejar apa-apa jenis pengiktirafan. Bagi saya, biarlah karier ini berjalan perlahan asalkan orang kenal saya menerusi bakat, bukannya cerita negatif,” katanya yang enggan menjual nama dengan publisiti murahan.

Mengatur langkah kemas, pelakon telefilem Gengster Leng Chai itu berpegang kepada prinsip mahu kekal bersih daripada sebarang cerita panas semata-mata untuk melariskan namanya.

Sedar ketika ini ramai pelapis baharu muncul silih berganti dan berjaya mencipta nama dalam sekelip mata, Yuna bagaimanapun percaya waktu untuk bintangnya bersinar terang akan tiba.

BARU beberapa tahun bergelar pelakon, Yuna berdepan dugaan apabila pernah dipergunakan kenalan yang berkawan dengannya untuk kepentingan peribadi.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI