PETALING JAYA – Menjadi antara peminat tegar lagu raya Serumpun, penyanyi Noraniza Idris menyifatkan karya nukilan dan nyanyian Mimi Fly unik serta melangkaui kebiasaan.
Katanya, idea menggarap muzik bercirikan elemen masa kini yang diadun bersama irama Nusantara namun kekal dalam lenggok tradisional membuatkan Serumpun mampu malar segar.
“Memang banyak lagu raya dilancarkan tahun ini dan boleh dikatakan saya dengar semuanya namun paling saya suka adalah Serumpun daripada Mimi Fly. Sekali dengar terus terngiang-ngiang.
“Serumpun memang unik baik dari segi gubahan melodi mahupun seni katanya yang ‘menangkap’ perhatian. Kedengaran moden, tetapi tetap mengekalkan nilai tradisional.
“Sejujurnya saya kagum dengan idea yang dicanai ini dan tidak keterlaluan kalau saya katakan Mimi satu-satunya penyanyi yang mengangkat irama etnik kreatif sekarang,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas lambakan lagu raya, penyanyi yang genap empat dekad dalam industri muzik melihat senario tersebut sebagai sesuatu yang positif sekali gus meraikan kepelbagaian.
Begitupun, menurut Noraniza, antara perbezaan ketara antara karya dahulu dengan sekarang adalah kebanyakkan lagu raya masa kini hanya didengar semusim.
“Lirik lagu raya sekarang banyak yang guna bahasa pasar, sudah kurang ayat puitis sampai buatkan kita hampir tidak terasa kesyahduan.
“Itu yang jadikan kebanyakkan seleksi Aidilfitri masa kini susah untuk melekat. Tapi tak dinafikan banyak lagi karya yang bagus macam Serumpun walaupun bukan lagu syahdu,” katanya.
Terdahulu, muzik video Serumpun yang mengisahkan tentang betapa indahnya hari raya meraih lebih 300,000 tontonan dalam tempoh dua hari dikongsi di YouTube rasmi Mimi.
Ketika hangat menjadi bualan, ramai memberikan teguran mengenai pemilihan persalinan Mimi yang didakwa kurang manis dan kemudian pasukannya menyunting MV berkenaan. – KOSMO! ONLINE