PETALING JAYA – Pelakon Emma Maembong akhirnya tampil membuat kenyataan menafikan
khabar angin kononnya sudah menamatkan zaman janda dengan lelaki dikenali sebagai DJ Kidd.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, tidak menafikan ada menjalin hubungan dengan DJ Kidd yang dikenali sewaktu di set penggambaran.
“Betul kami berkawan tetapi saya belum berkahwin seperti yang diperkatakan ramai.
“Sejak berita itu tersebar, ramai yang bertanya kepada saya, termasuklah kawan-kawan, masing-masing tanya, betul ke saya dah kahwin? Sampai hati tak jemput mereka.
“Mulanya, saya tidak mahu memberikan respons terhadap gosip ini kerana saya ingat perkara ini akan berlalu. Tetapi bila ramai yang bertanyakan sendiri kepada saya dan menyangka saya sudah berkahwin, saya rasa sudah tiba masanya tampil membuat penjelasan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika majlis Iftar bersama artis-artis Stars Powerhouse Entertainment.
Pelakon drama Seribu Tahun itu juga menafikan dakwaan bahawa DJ Kidd merupakan punca keruntuhan rumah tangganya bersama bekas suami, Muhammad Shazli Azhar.
“Tiada siapa yang menjadi punca penceraian saya dengan bekas suami. Tak perlu tahu apa puncanya. Saya sudah tutup buku lama. Buat apa saya nak buka balik.
“Saya selalu cakap salahkan diri saya sendiri. Saya yang tak pandai jaga diri. Apa- apa komen negatif atau jahat, biarlah saya yang kena. Jangan salahkan orang sekeliling saya. Sebab mereka tidak bersalah,” jelasnya.
Terdahulu DJ Kidd tampil membuat hantaran berani apabila membuat naik beberapa video dan gambar bersama Emma sambil menggelarnya dengan panggilan isteri.
Dalam video tersebut juga mereka memaparkan kemesraan seakan-akan pasangan suami isteri apabila Emma dilihat memeluk dan mencium pipi DJ Kidd. Lelaki tersebut juga berjanji untuk menjadi pasangan hidup terbaik buat aktres itu dan menyifatkan Emma sebagai bidadari yang hadir dalam hidupnya. – KOSMO! ONLINE.