fbpx

NL: Hojlund kunci mulut pengkritik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HOJLUND (dua dari kanan) membuktikan kualiti penyudahnya apabila meledak gol tunggal perlawanan untuk Denmark meraih kemenangan ke atas Portugal awal pagi semalam. - AFP

COPENHAGEN – Penyerang Denmark, Rasmus Hojlund membuktikan kualitinya apabila muncul wira Denmark dengan jaringan tunggal yang memastikan kemenangan 1-0 ke atas Portugal dalam aksi suku akhir pertama Liga Negara-Negara di Stadium Parken, kelmarin.

Penyerang Manchester United itu sebelum ini bergelut dengan prestasi di kelabnya, namun kali ini menjawab kritikan dengan gaya tersendiri apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-78 selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Jaringan tersebut sekali gus menebus kegagalan Christian Eriksen menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama dan memberi kelebihan buat Denmark menjelang aksi timbal balik.

Denmark hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi penyerang muda, Mika Biereth, tetapi penjaga gol Portugal, Diogo Costa bertindak cemerlang menampan bola keluar ke sepakan sudut.

Namun, Costa akhirnya tewas pada minit ke-78 apabila Eriksen bijak menghantar bola kepada Andreas Skov Olsen di dalam kotak penalti yang kemudian melakukan hantaran sempurna untuk disudahkan oleh Hojlund dengan kaki kanannya.

Menariknya, selepas menjaringkan gol, Hojlund meraikan dengan gaya ikonik “Siu” milik Cristiano Ronaldo sebagai penghormatan kepada idolanya.

“Ia adalah hari yang luar biasa. Saya bermain menentang idola saya, Ronaldo, dan saya berjaya menjaringkan gol serta menjadi wira perlawanan. Tidak mungkin ia boleh ditulis dengan lebih baik lagi,” katanya.

Selepas jaringan itu, Denmark memilih untuk bertahan dan membiarkan Portugal menguasai permainan, namun skuad kendalian Kasper Hjulmand berjaya mengekalkan kelebihan sehingga wisel penamat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI