PETALING JAYA – Nestle Malaysia melaksanakan majlis pecah tanah bagi pembinaan hab logistik bersepadu serba canggih di Pelabuhan Klang baru-baru ini, membabitkan pelaburan berjumlah RM250 juta.
Kemudahan berkenaan direka secara strategik untuk berfungsi sebagai hab logistik serantau, memudahkan eksport produk Nestlé Malaysia ke lebih daripada 60 negara di seluruh dunia serta mendapatkan bahan mentah yang diimport.
Ia juga sebahagian daripada strategi Nestle untuk meningkatkan kecekapan dan kelestarian rantaian bekalan, sambil menyokong ekonomi tempatan melalui penciptaan pekerjaan dan pembangunan infrastruktur.
Hab yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku tahun pertama 2026 itu merangkumi sebuah gudang moden serta ruang laman kontena, dan akan memanfaatkan ekonomi skala dan pendigitalan bagi mengoptimumkan operasi serta memberikan perkhidmatan lebih baik.
Dengan menggabungkan teknologi canggih dan inovasi mampan, ia turut memainkan peranan dalam mengurangkan kesan alam sekitar daripada operasi logistik Nestle, dan dijangka mampu mengurangkan emisi karbon syarikat sebanyak lebih 500 tan karbon dioksida setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, selain memacu pertumbuhan masa depan, langkah itu menekankan komitmen pihaknya untuk melabur di Malaysia dan membina sebuah hab logistik bertaraf dunia yang akan menambah baik operasi.
“Dengan mencipta lebih daripada 200 pekerjaan baharu, kami memperkasakan pasukan kami untuk membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang logistik.
“Pada dekad akan datang, kami membayangkan Pelabuhan Klang sebagai sebuah hab eksport berpusat bagi Nestle Malaysia, menetapkan penanda aras baharu dari segi kecekapan dan kelestarian, sambil meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan untuk bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE