BRASILIA – Pasukan Brazil mempamerkan kebangkitan dramatik untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Colombia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan pagi tadi.
Pada aksi di Stadium Arena BRB itu, skuad Selecao berjaya meraih gol seawal minit ke-6 hasil jaringan penalti yang dilakukan oleh Raphinha sebelum Colombia bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyudah Luis Diaz pada minit ke-41.
Ketika saingan seperti berakhir dengan keputusan 1-1, bintang Real Madrid, Vinicius Junior muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat tuan rumah.
Kemenangan itu membolehkan Brazil melonjak ke tangga kedua kumpulan kelayakan zon Amerika Selatan yang melibatkan 10 negara.
Sementara itu, Peru turut berjaya melakar kemenangan 3-1 ke atas Bolivia manakala Paraguay menewaskan Chile 1-0. – AGENSI