ALOR SETAR – Prihatin dengan nasib menimpa pemain pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC yang tidak menerima gaji hampir setahun, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan Tabung Sumbangan Aidilfitri.
Tiga NGO itu ialah Rangkaian Anak Darul Aman SeMalaysia (RADA), Anak Darul Aman (Adam) dan Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (Suara).
Pengerusi RADA, Datuk Romli Ishak berkata, kutipan yang sudah mencecah RM40,000 setakat ini bukan sahaja akan diagihkan kepada pemain terjejas, malah akan turut diberikan kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan KDA FC.
“Tabung ini diwujudkan bagi memastikan kebajikan para pemain terus terbela terutama menjelang bulan Syawal yang mulia.
“Sumbangan yang dikumpul akan disalurkan secara langsung kepada pemain dan pegawai yang memerlukan sebagai tanda penghargaan atas jasa pengorbanan mereka dalam mengangkat martabat bola sepak negeri Kedah,” katanya.
Sebelum ini, KDA FC yang bersaing dalam Liga Super berhadapan kemelut kewangan yang meruncing sehingga menyebabkan tunggakan gaji melebihi 10 bulan.
Kata Romli, pihaknya terpanggil untuk menggerakkan kutipan itu selepas mendengar sendiri keluhan sebahagian pemain dan pegawai pasukan itu dalam pertemuan baru-baru ini.
“Antara penyumbang setakat ini adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menghulurkan sumbangan peribadi berjumlah RM20,000 dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebanyak RM10,000.
“Sumbangan ini bagi membolehkan para pemain dan pegawai pasukan KDA FC melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Sumbangan yang bermula ehingga 25 Mac ini boleh dilakukan menerusi akaun CIMB bank milik Suara bernombor 8603566015 yang dirujuk ‘Tabung Sumbangan Aidilfitri Bola Kedah’. – KOSMO! ONLINE