fbpx

‘Wujud desakan, suruhan pihak ketiga hingga saya ceraikan Nora’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUSHDI berharap kemelut yang berlaku antara dua isterinya berakhir dengan harmoni.

PETALING JAYA – Suami kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin, Dr. Rushdi Ramli tidak menafikan perceraiannya dengan isteri kedua adalah disebabkan desakan isteri pertamanya, Rose Aliza Sutrisno dan anaknya, Alia Rushdi.

Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya (UM) juga menafikan sepenuhnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Rose Aliza pada 20 Mac lalu sekali gus mahu membersihkan imejnya yang sudah tercalar.

“Demi untuk menyatakan kebenaran dan membersihkan nama, saya ingin menafikan sepenuhnya kenyataan yang dibuat oleh isteri pertama yang bertarikh 20 Mac 2025 dalam media bertulis serta elektronik.

“Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan tidak benar dan telah mendatangkan fitnah besar kepada saya sebagai seorang suami dan Nora.

“Hakikatnya, wujud desakan dan suruhan daripada pihaknya sehingga wujud episod saya menceraikan Nora sebelum kami rujuk kembali,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tidak bercakap kosong, Rushdi berkata, dia mempunyai bukti desakan yang dilakukan oleh pihak terbabit agar menceraikan isteri keduanya.

Namun dalam masa sama, dia menerima setiap luahan yang dinyatakan oleh isteri pertama tentang perkara yang berlaku termasuk berkahwin tanpa pengetahuannya.

“Saya menyatakan bahawa adanya bukti-bukti terdapatnya desakan-desakan dan suruhan dari
pihak ketiga tersebut untuk saya menceraikan Nora.

“Namun begitu, saya menghormati dan mengakui apa yang dirasai oleh isteri pertama untuk semua perkara.

“Namun, saya tidak bersetuju dengan desakan dan suruhan yang perlu diberikan kepada saya,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia berharap kemelut antara isteri pertama dan keduanya berakhir secara harmoni dalam tempoh terdekat.

Menurut Rushdi, dia amat menyayangi dua isterinya dan berharap segala ‘perang’ antara mereka berakhir dengan baik pada bulan Ramadan ini.

“Pada bulan Ramadan yang mulia ini, harap kemelut antara isteri-isteri saya dapat diselesaikan secara harmoni kerana saya amat sayang mereka dan keluarga.

“Sesungguhnya saya amat menghargai segala kebaikan dan pengorbanan isteri pertama sepanjang bersamanya selain menghargai kebaikan isteri kedua.

“Saya amat berharap saya dan isteri-isteri saya dapat melayari bahtera dan meniti kehidupan bersama dengan sakinah, mawaddah warahmah hingga ke jannah,” katanya lagi.

Terdahulu, Nora pada 19 Mac lalu, mengejutkan ramai apabila memuat naik foto dia berada Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dipercayai bagai memfailkan perceraian terhadap Rushdi selepas dikatakan didesak oleh isteri pertama suaminya.

Rentetan itu, Rose menerusi hantaran dalam Facebook menafikan dirinya dan Alia menjadi punca dan mendesak suaminya menceraikan Nora.

Pada Ogos tahun lalu, Nora diceraikan dengan talak satu oleh suaminya menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya namun mengesahkan kembali rujuk tidak lama kemudian.

Nora atau Wan Norafizah Ariffin dan Rushdi mendirikan rumah tangga pada Disember 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI