fbpx

Petunjuk istikharah, berhenti MRSM bina Musolla ar-Raudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUSOLLA Ar-RAUDHAH bernilai RM6.5 juta yang berjaya direalisasikan Mohd Azly selepas berhenti MRSM di Kuantan.

KUANTAN – Berkat petunjuk solat istikharah bekas guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak ralat melepaskan jawatan Timbalan Pengetua MRSM Tun Shafie Lipis apabila dia berjaya merealisasikan impian untuk membina sebuah masjid bernilai RM6.5 juta di Jalan Pelindung Perdana, Beserah, di sini.

Musolla Ar-Raudhah yang dibina hasil usahanya termasuk mengumpul dana daripada orang ramai itu kini boleh memuatkan 1,500 jemaah dengan konsep pembinaan holistik moden dan tradisional.

Mohd. Azly Abdullah, 51, yang juga merupakan panel penggubal MRSM Ulul Albab berkata, dia pada mulanya tidak pernah menyangka akan berhenti awal selepas berkhidmat selama 21 tahun dengan MRSM dan berjaya menggapai impian membina sebuah masjid.

Katanya, dia yang berulang-alik dari rumahnya di Kuantan ke MRSM Lipis membuat keputusan itu dua tahun lalu selepas melakukan solat istikharah.

“Saya melakukan solat istikharah bagi menggapai impian melakukan sesuatu yang berharga dalam hidup serta tidak mahu berjauhan dengan keluarga.

“Jadi saya istikharah, Allah tunjukkan jalan dan saya ambil cuti dahulu setahun, lepas itu saya saya solat istikharah lagi sama ada hendak terus bekerja atau pencen dan akhirnya Allah tunjukkan jalan saya pencen.

“Apabila sudah begitu saya rasa tidak ralat, tidak rasa ragu-ragu kecewa dengan apa yang diputuskan, walaupun ada pengalaman mengajar di sekolah yang berprestij dengan jawatan terakhir timbalan pengetua,” katanya yang turut kehilangan pendapatan bulanan lebih RM8,000 pada masa itu.

Tambahnya, selepas masjid yang turut mendapat sumbangan sebanyak RM200,000 daripada kerajaan negeri dan pusat itu siap dia tidak mahu berhenti setakat itu sahaja apabila mahu menggunakan pengalamannya bagi membuka pula sebuah maahad tahfiz.

Katanya, ketika ini dia telah berjaya mendapatkan sebidang tanah kira-kira 0.8 hektar berdekatan masjid berkenaan untuk dibangunkan menjadi maahad tahfiz berkonsepkan sains, tahfiz dan turath.

Tambahnya, pembinaan maahad tahfiz berkenaan dijangka dimulakan pada bulan hadapan melibatkan kos kira-kira RM30 juta termasuk membina asrama dan kemudahan lengkap dan terkini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI