SEMINGGU lagi, umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sudah semestinya kita akan pulang ke kampung halaman untuk merayakannya bersama keluarga tercinta.
Keluarga besar akan berkumpul dan masing-masing bersalaman untuk bermaaf-maafan pada pagi satu Syawal.
Namun begitu, di sebalik kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri, kita juga perlu berhati-hati dengan risiko jangkitan influenza.
Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Faridah Syed Omar berkata, risiko penyebaran influenza pada musim perayaan amat tinggi.
Menurutnya, kita telah belajar tentang Covid-19 sebelum ini dan jangkitan influenza juga akan menular jika ada perhimpunan atau perjumpaan beramai-ramai.
“Hari raya ini sudah semestinya kita semua akan pulang ke kampung dan berkumpul beramai-ramai.
“Dalam keadaan ini memang kondusif untuk virus influenza merebak,” katanya.
Tambahnya, kita perlu mengambil langkah yang sepatutnya bagi memastikan jangkitan influenza tidak merebak pada musim perayaan ini.
Influenza mudah untuk menjangkiti orang lain dan mereka yang mempunyai gejala-gejala penyakit ini perlu mengelakkan diri berjumpa dengan orang supaya virus tidak merebak.
Pemakaian pelitup muka adalah penting, jika seseorang bergejala dan tidak dapat mengelak daripada berjumpa dengan orang lain, selalu mencuci atau sanitasi tangan apabila perlu.
Di Malaysia, jangkitan influenza bukanlah sesuatu yang baharu dan sering terjadi sepanjang tahun.

Mengulas tentang jangkitan itu, Dr. Sharifah Faridah menjelaskan, influenza merupakan sejenis virus dan selalunya ia akan menyebabkan jangkitan kuman pada sistem pernafasan.
Bagi kebanyakan orang, simptom jangkitan influenza ini tidak terlalu teruk dan ramai menyangka bahawa mereka hanya demam selesema biasa.
“Tetapi influenza ini sebenarnya lebih teruk daripada demam selesema biasa. Selalunya, demam lebih berpanjangan, batuk, selesema dan rasa sengal-sengal badan.
“Influenza ini berisiko tinggi kepada kanak-kanak yang sangat muda dan orang tua serta mereka mempunyai penyakit kronik lain,” jelasnya.
Tambahnya, influenza sesuatu yang tidak boleh pandang biasa kerana ia lebih serius daripada apa yang kita anggapkan selama ini.
Simptom influenza seperti jangkitan kuman lain yang menyebabkan masalah pada sistem pernafasan seperti batuk, selesema dan sakit tekak.
Tetapi ia juga boleh menyebabkan simptom lain seperti sakit kepala, sakit badan, demam, hilang selera makan, muntah dan cirit birit.
Kita perlu peka dan bila ada simptom-simptom sebegini. Kita mesti tahu bahawa diri berkemungkinan besar terkena jangkitan kuman dan salah satunya adalah influenza.
Cara terbaik untuk mengetahui jangkitan influenza adalah dengan melakukan ujian untuk mengesan virus tersebut.
Sementara itu, Dr. Sharifah Faridah berkata, kebanyakan orang yang dijangkiti virus influenza, penyakit mereka adalah ‘self-limiting’.
Ini bermakna mereka boleh merawat simptom dengan mengambil ubat demam, ubat batuk, ubat selesema dan sebagainya serta mendapat rehat secukupnya. Selepas lebih kurang seminggu, selalunya mereka akan sembuh sendiri.
Namun begitu, dari segi rawatan spesifik untuk influenza adalah melalui ubat antiviral yang boleh digunakan dan sebaiknya-sebaiknya diambil pada tiga hari yang pertama.
“Apa yang saya mahu tekankan di sini, walaupun influenza ini adalah penyakit ‘self-limiting’ untuk golongan berisiko rendah, tetapi pada sesetengah golongan sangat penting untuk mereka berjumpa dengan doktor kerana takut ia akan melarat.
“Mungkin ubat antiviral ini perlu diberikan lebih cepat kepada mereka bagi memastikan jangkitan tidak memberikan kesan yang serius,” jelasnya.
Ujarnya, sebaik-baiknya mereka yang mempunyai simptom seperti yang dinyatakan, harus berjumpa dengan doktor untuk membuat penilaian sama ada ubat antiviral diperlukan atau tidak dan mungkin ada gejala-gejala lebih serius.
Gejala influenza boleh menjadi semakin teruk dan menyebabkan komplikasi serius (terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi) seperti keradangan paru-paru dan otak, sepsis serta boleh membawa maut.
Dalam pada itu, langkah terbaik untuk mencegah jangkitan influenza adalah melalui vaksinasi.
Malah, vaksin untuk influenza ini juga telah lama ada, bahkan sebelum pandemik Covid-19 lagi, iaitu lebih kurang 80 tahun lalu.
Terangnya, varian atau strain untuk influenza ini cepat bermutasi.
“Oleh itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sering membuat pemantauan tentang varian-varian yang sedang berkitar pada masa ini.
“Kemudian, mereka akan mencadangkan kepada pembuat vaksin tentang varian-varian terkini bagi memastikan vaksin dikeluarkan mempunyai keberkesanan optimum,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Sharifah Faridah juga menitipkan pesan agar masyarakat meningkatkan pengetahuan tentang jangkitan influenza.
“Kita perlu tahu bagaimana penyakit ini merebak bagi membolehkan keputusan tepat dapat diambil.
“Ini bagi memastikan diri tidak dijangkiti dengan influenza dan dalam masa sama ia tidak menular kepada orang lain,” katanya.
Inisiatif Pendidikan ini dibawakan oleh SANOFI