fbpx

Belajar jadi manusia berterima kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

TERIMA kasih. Itu merupakan dua patah perkataan paling mudah dan ringkas diungkapkan sesiapa sahaja waima kanak-kanak. Bagaimanapun, dua perkataan itu jugalah masih berat dan kelu untuk dijadikan ‘pakaian’ lidah bagi segelintir manusia tanpa mengenal status.

Ungkapan tersebut rasanya tidak akan mencederakan lidah tatkala dituturkan kerana ia penghargaan buat seseorang. Bergelar wartawan dan berkecimpung dalam dunia media selama lebih enam tahun, penulis pernah berhadapan dengan situasi yang diperkatakan itu.

Dipertanggungjawabkan menulis di bahagian hiburan, penulis tidak terlepas untuk berjumpa dengan ramai selebriti tempatan tanah air tanpa mengira usia. Golongan ini menjadi sumber
penting yang melengkapkan kerja-kerja wartawan hiburan.

Bagi penulis, keserasian dan komitmen antara dua pihak amat penting dalam memastikan apa yang direncanakan dapat dipersembahkan dengan baik.

Bagaimanapun, apa yang membuatkan penulis sedikit kecewa apabila ada segelintir selebriti yang langsung tidak pernah mengungkapkan perkataan terima kasih kepada pihak media.

Penulis bukan dahagakan ucapan terima kasih itu, namun rasanya ungkapan itu tidak perlu diajar ataupun disuruh.

Paling mengecewakan, selebriti muda dan bakat baharu yang muncul tidak sampai setahun jagung berperangai seperti itu, mengalahkan barisan artis senior yang tidak pernah lekang mulut mengucapkan terima kasih dalam apa jua perkara.

Contoh paling mudah, sebelum sesi fotografi, bukan main bersemangat dan tidak sabar untuk hadir ke studio di pejabat.

Selepas artikel mengenainya disiarkan di dada akhbar termasuk laman sesawang, perkataan terima kasih pun tidak keluar dari mulut. Senyap sepi dan kelu lidah seakan-akan disahkan bisu oleh pakar perubatan.

Menurut Pakar Sosial dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr. Datuk Mohammad Shatar Sabran, kebanyakan masyarakat milinea khususnya anak muda kini sukar untuk mengungkapkan kalimah mudah tersebut.

“Dalam konteks ini, mereka menganggap ia bukan satu perkara penting dan perlu diberi perhatian.

“Jika dipersoalkan mengapa ia berlaku, jawapannya senang dan ia berbalik kepada realiti semasa iaitu sikap ambil mudah atau sambil lewa terhadap perkataan tersebut,” katanya.

Tambah Mohammad Shatar, secara mudah, berterima kasih merupakan satu bentuk emosi yang mencakupi refleksi kendiri, iaitu kemampuan untuk menerima hakikat bahawa setiap orang bergantung kepada bantuan orang lain.

Kadang-kadang penulis tidak faham apa yang golongan artis muda dan bakat baharu ini mahukan. Hendak publisiti dan nama sudah diberi, penghujungnya mula mendabik dada sambil mendongak tinggi ke langit.

Penulis tidak menyalahkan semua artis baharu apatah lagi bertindak memukul rata perkara sebegini, namun hanya segelintir mereka.

Artis senior yang berpuluh tahun dalam industri pun tidak segan silu berkongsi paparan artikel di platform sosial media masing-masing disertai ucapan terima kasih berulang kali. Kamu yang baru setahun dua dan mula hendak membina tapak sudah tunjuk perangai.

Perkataan ‘terima kasih’ mungkin kedengaran amat mudah, namun nilai di sebalik perkataan ini sangat bermakna kepada seseorang dan boleh memberikan kebahagiaan serta kegembiraan kepada si penerima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI