GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Bihai di sini mengehadkan pergerakan keluar dan masuk ke kampung bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di kampung mereka sejak tiga bulan lalu.
Selain bimbang bahaya wabak itu, masyarakat Orang Asli pedalaman ingin mengekalkan kampung mereka sebagai kawasan hijau yang bebas daripada jangkitan wabak Covid-19 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, bagi meneruskan kehidupan, mereka hanya bergantung kepada sumber tanaman sara hidup seperti ubi kayu dan sayur-sayuran kampung.
Katanya, selain itu, bagi bekalan makanan kering pula mereka menerima bantuan daripada pihak kerajaan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Selaku penghulu, saya sering menasihatkan penduduk supaya menjaga diri dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) jika mahu keluar ke bandar.
“Saya sendiri sudah tiga bulan tidak keluar ke bandar dan penduduk hanya keluar untuk melakukan urusan penting,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tendrik, Pos Bihai di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, Orang Asli di kawasan kampung pedalaman juga menyuarakan kebimbangan tentang wabak Covid-19 kepadanya.
Katanya, ada penduduk Orang Asli yang tidak berani keluar ke bandar Gua Musang untuk mengambil wang Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) selepas Gua Musang dikategorikan sebagai zon merah.
“Mereka bimbang untuk keluar dan takut dengan penguatkuasaan PKP yang dilakukan pihak kerajaan.
“Bagaimanapun, saya sudah memberi nasihat agar mereka mematuhi SOP dan arahan pihak berkuasa supaya tidak dikenakan kompaun ,” katanya. -K! ONLINE