BALIK PULAU – Seramai tujuh anggota bomba membantu membawa turun seorang lelaki obesiti yang mengalami masalah kesihatan dari kediamannya di aras empat, Kondominium Spring Field, Bayan Lepas di sini hari ini.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rithuwan Nordi Md. Ashari ketika dihubungi Kosmo! di sini berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan daripada pihak hospital kira-kira pukul 1.30 petang dan tiba ke lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, operasi mengangkat mangsa berusia 51 tahun itu dijalankan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau.
“Sebaik tiba di kediaman mangsa mendapati dia yang mempunyai berat 150 kilogram itu berada dalam keadaan baring di atas katil dalam biliknya.
“Seramai tujuh anggota membantu mengangkatnya dengan menggunakan alat pengusung atau ‘strecher’ untuk turun ke bawah.
“Operasi membantu membawa turun mangsa mengambil masa kurang 10 minit dan dia kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan yang terlebih dahulu menunggu di aras bawah perumahan itu,”katanya.
Beliau memberitahu, mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk temujanji dengan doktor berhubung masalah kesihatan lelaki yang dialaminya. – K! ONLINE