TEMERLOH – Seorang duda yang tular selepas dipercayai mencabul wanita di bazar Ramadan baru-baru ini mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Nazarin Romeli, 51, yang berdepan empat tuduhan mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Tan Chew King.
Lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan menyentuh dada wanita berusia 26 tahun dengan lengan dan siku pada pukul 6.40 petang, 6 Mac lalu di tapak Bazar Ramadan Lurah Semantan di sini.
Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama dengan melanggar punggung dan paha mangsa.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa melanggar dada mangsa lain berusia 22 tahun dengan lengan dan siku pada pukul 6.20 petang, 10 Mac lalu di tapak bazar Ramadan sama.
Untuk pertuduhan keempat, tertuduh melanggar dada wanita berusia 28 tahun dengan lengan dan siku pada pukul 6.40 petang, 6 Mac lalu di lokasi sama.
Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin, manakala tertuduh diwakili peguan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nursyazwani Rosselan.
Dalam prosiding itu, Adriana mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat lelaki itu tidak boleh mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, Nursyazwani merayu satu jumlah yang minimum kerana anak guamnya bekerja kampung dengan pendapatan RM1,000 dan menyara tiga individu.
Chew King menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 April ini. – KOSMO! ONLINE