GEORGE TOWN – Pulau Pinang terus mengorak langkah sebagai hab kewangan serantau dengan pelancaran Permohonan untuk Penyataan Minat (EOI) bagi penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif yang diterajui melalui Penang Institute itu sejajar dengan kedudukan negeri tersebut sebagai hab perdagangan global, khususnya dalam sektor semikonduktor dan teknologi tinggi.
“Pulau Pinang yang dikenali sebagai Lembah Silikon Timur berada pada kedudukan strategik untuk membangunkan ekosistem kewangan dinamik.
“PIFC akan membantu memperkukuh sektor semikonduktor di Koridor Utara, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS),” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Kon Yeow, ekonomi Pulau Pinang tidak boleh bergantung kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E), pelancongan dan perkhidmatan sahaja, PIFC ini akan bawa impak yang besar kepada ekonomi negeri,” katanya.
Tambahnya, PIFC dijangka berperanan penting dalam memperluaskan pelaburan teknologi, menarik sumber modal baharu bagi inovasi kewangan, serta meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan profesional.
“Sebagai langkah awal, Penang Institute membuka peluang kepada institusi kewangan, pemaju hartanah, pemimpin industri dan firma pelaburan untuk mengemukakan cadangan mereka. -KOSMO! ONLINE