PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengurup wang bagi membantu siasatan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun, individu telah dilepaskan selepas direman selama dua hari ekoran sakit jantung.
“Kami segera merujuknya kepada doktor yang mengesahkan bahawa dia mengalami masalah jantung tersumbat.
“SPRM tiada pilihan selain melepaskan suspek kerana keadaan kesihatannya supaya dia boleh mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azam berkata, proses rakaman keterangan bekas Perdana Menteri itu berkemungkinan akan mengambil beberapa sesi lagi.
“Proses rakaman keterangan masih berjalan dan terdapat ramai lagi individu yang akan diambil keterangan,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Ismail Sabri hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan kali kelima berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan ke atas Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya.
Ismail Sabri merupakan suspek siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam ‘safe house’. – KOSMO! ONLINE