KUALA LUMPUR – Seramai 150 pengamal media menghadiri majlis iftar anjuran Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu negara hari ini.
Majlis yang bermula kira-kira pukul 6 petang di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di sini turut disertai barisan pimpinan Bersatu lain.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin.
Pengerusi acara majlis memaklumkan, seramai 150 pengamal media terbabit terdiri daripada 16 organisasi media dalam negara termasuk media dalam talian.
Turut berlangsung pada majlis berkenaan adalah penyampaian sumbangan kepada seramai 20 artis veteran termasuk Rahim Kidol, Din Glamour dan Wan Scoin.
Artis veteran lain turut menerima sumbangan ialah Aan Ways, Azan Scan, Keena Mentor, Shah Farid, Rena Tan, Rashid Jaafar dan Jibam P. Ramlee. – KOSMO! ONLINE