SERDANG – Seorang lelaki Pakistan maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 45.3, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa yang berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian tersebut membabitkan kenderaan jenis Toyota Unser dipandu mangsa dengan sebuah kereta Honda Civic.
“Hasil siasatan awal, kemalangan berlaku ketika mangsa bersama seorang lagi individu yang berada di bahagian penumpang dalam perjalanan dari arah Puchong menghala ke Kuala Lumpur.
“Akibat dari kemalangan tersebut, penumpang dan pemandu Honda mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata, mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE