LUMUT – Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai jatuh dari Jambatan Bainun di Jalan Sitiawan-Pantai Remis dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa berusia 39 tahun ditemui mati lemas berhampiran dengan Batu Undan pada jarak 1.5 kilometer (km) dari Jambatan Bainun pada pukul 4.20 petang.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.29 pagi memaklumkan ada lelaki jatuh dari jambatan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan diketuai Pegawai Bomba Kanan I Tajul Arif Ahmad, tiba di lokasi pada pukul 10.40 pagi.
Katanya, didapati mangsa telah meletakkan keretanya di atas jambatan dan meninggalkan sekeping nota dalam kereta.
Beliau berkata, mangsa dipercayai mengalami masalah keluarga dan telah jatuh dari jambatan tersebut pada ketinggian kira-kira lapan meter dari paras air.
Katanya, usaha mencari mangsa dilakukan dengan membuat pencarian di permukaan di sekitar kawasan mangsa dipercayai jatuh dalam jarak radius 500 meter.
Beliau berkata, anggota turut membuat pencarian dengan menggunakan ‘gripping iron’ bagi mengesan kedudukan mangsa yang berada di dasar sungai.
Katanya, pencarian juga diteruskan 1.5km dari lokasi mangsa jatuh sehingga jasadnya dijumpai pada pukul 4.20 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE