LUMUT – Dua lelaki parah selepas terjatuh dari kren setinggi 12 meter yang melakukan kerja penebangan pokok di pantai peranginan Teluk Batik di sini hari ini.
Seorang mangsa rakyat tempatan berusia 60an mengalami kecederaan patah kedua-dua belah kaki, patah tangan kiri dan pinggang.
Sementara, seorang lagi mangsa lelaki warganegara Indonesia berusia lingkungan 50-an mengalami kecederaan patah tangan kiri dan kaki kanan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku akibat daripada kren yang patah di bahagian tengah lantas terjatuh ke atas sebuah pondok rehat.
“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.22 petang bahawa terdapat mangsa terjatuh dari kren yang sedang beroperasi dari ketinggian 12 meter setelah selesai melakukan penebangan pokok,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Izzat Ismail, tiba di lokasi kejadian pada pukul 3.37 petang.
Katanya, Muhammad Izzat mengarahkan anggota untuk membantu memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung dengan menggunakan ambulans, manakala operasi dengan kekuatan 10 anggota bomba itu tamat pada pukul 4.23 petang. – KOSMO! ONLINE