MUKAH – Mayat kanak-kanak lelaki yang dihanyut arus ketika mandi bersama adik perempuannya di tepi Sungai Batang Mukah, di sini ditemukan pada pukul 4.40 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah Nicholas Belulin berkata mayat mangsa berusia 10 tahun itu dijumpai terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam radius 1.2 kilometer dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, katanya pasukan SAR belum berjaya menemukan adik mangsa, 7, yang masih hilang.
Menurut Nicholas, operasi pencarian pada hari ini ditangguhkan kira-kira pukul 5 petang tadi dan akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok.
Dua kanak-kanak itu dilaporkan hilang oleh ibunya kira-kira pukul 4.30 petang semalam, selepas gagal menyelamatkan mereka.
Menurut ibu mangsa, kedua-dua anaknya itu yang tidak pandai berenang tiba-tiba tenggelam dibawa arus ketika sedang mandi di sungai berkenaan kira-kira pukul 3.50 petang. – KOSMO! ONLINE