JOHOR BAHRU – Seorang penghantar barang ditahan polis semalam bagi membantu siasatan melibatkan kes penderaan anak lelakinya yang berusia enam tahun.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, penahanan wanita itu ekoran laporan polis dibuat seorang guru prasekolah Sekolah Kebangsaan Taman Johor Jaya 3 pada 17 Mac lalu.
“Ibu mangsa yang berusia 31 tahun dipercayai merupakan suspek kes ini sudah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor memberitahu kanak-kanak tersebut telah diselamatkan dan kini berada di bawah jagaan pihaknya.
“JKM negeri telah menjalankan siasatan ke rumah mangsa dan tindakan sewajarnya sudah diambil. Kanak-kanak itu dalam keadaan selamat, manakala dua adik beradiknya berada di bawah jagaan ibu saudara,” menurut wakil tersebut.
Guru prasekolah tersebut membuat laporan polis selepas mengesan beberapa kesan kecederaan termasuk lebam pada bahagian tangan serta di belakang tubuh mangsa. – KOSMO! ONLINE
I