fbpx

Lebih 2.2 juta kenderaan guna lebuh raya sempena Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Lonjakan itu dijangka berlaku bermula pada 27 hingga 29 Mac serta 4 hingga 6 April hadapan dengan jumlah peningkatan mencecah 20 peratus berban­ding hari biasa.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya akan memberi tumpuan khusus untuk mengurus dan mengagihkan trafik serta penyediaan kemudahan yang lebih efisien bagi memastikan pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan dengan lebih lancar dan selesa.

Katanya, lebih 5,000 petugas ekosistem PLUS turut ditugaskan bagi membantu melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya sepanjang musim perayaan ini.

“Seramai 1,471 kakitangan akan membantu operasi di plaza tol, manakala 60 petugas akan bertugas di Pusat Pemantauan Trafik PLUS dan ­Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) untuk menyelaras bantuan jika berlaku insiden.

“Selain itu, 413 anggota rondaan PLUSRonda dan LPT2Ronda akan bersedia di lebuh raya, di samping 3,570 kakitangan ­penyelenggaraan di hentian ­rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol.

“PLUS turut menempatkan 319 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta 50 anggota Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) di beberapa lokasi bagi memastikan kelancaran perjalanan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS.

Katanya, ia bukan sahaja membantu dalam pengagihan trafik, malah dapat mengelakkan penumpuan kenderaan di sesuatu lokasi pada masa yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI