PENDANG – Kemalangan yang mengakibatkan tiga lelaki maut dan tiga lagi cedera di Kilometer 58.4 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini pagi tadi dipercayai berpunca daripada lori yang berhenti tanpa sebarang isyarat.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga mangsa yang maut itu hilang kawalan ketika cuba mengelak lori tersebut yang diletakkan di lorong kanan.
“Kemalangan ini melibatkan lima kenderaan termasuk tiga lori dan pikap. Kereta Proton Saga berkenaan hilang kawalan kerana cuba mengelak sebuah lori yang diletakkan di lorong kanan sebelum bergesel dengan dua buah lori lagi.
“Pada masa yang sama sebuah kenderaan pikap yang datang dari belakang tidak sampat membrek lalu melanggar kereta dan lori berkenaan.
“Akibat perlanggaran tersebut, tiga mangsa yang berusia 26 tahun dan dua rakannya masing-masing 32 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit. Mereka dikeluarkan dengan bantuan bomba sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, kemalangan turut mengakibatkan pemandu kereta tersebut cedera parah sementara dua lagi yang menaiki pikap berkenaan cedera ringan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain polis turut mengesan saksi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE