PASIR MAS – Seorang lelaki tidak sempat mengaut keuntungan hasil jualan sebanyak 33 ekor lembu seludup bernilai RM321,000 selepas dicekup semasa sedang memunggah haiwan tersebut dari bot di tebing Sungai Golok dekat pangkalan haram Pos Rela di sini semalam.
Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 4 pagi semasa anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, anggota PGA mengesan beberapa orang lelaki sedang memindahkan lembu dari bot ke tebing Sungai Golok di pangkalan haram tersebut.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu bot itu sempat melarikan diri ke Thailand, namun seorang lelaki berjaya ditahan.
“Pemeriksaan di kawasan pangkalan haram itu menjumpai sebanyak 33 ekor lembu yang dianggarkan bernilai RM321,000.
“Kesemua lembu-lembu itu dipercayai untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, hasil rampasan dibawa ke Balai Polis Bakong di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE