PENERBIT filem aksi komedi 6 Jilake, Dr. Shasa Aziz menyasarkan kutipan sebanyak RM10 juta apabila filem itu ditayangkan pada 24 April tahun ini. Menurut Dr. Shasha dari Eartistic Entertainment dengan kos pembikinan sebanyak RM2.8 juta termasuk peruntukan geran, Dana Kandungan Digital (DKD) oleh Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), pihaknya yakin filem arahan Aziz M. Osman bakal mendapat sambutan.
“Saya yakin dengan hasil kerja pengarah kerana dia sendiri seorang legenda dalam industri perfileman negara. Selepas melihat proses suntingan, saya amat berpuas hati dan memang filem ini menampilkan sisi berbeza Aziz M. Osman. “Saya bersyukur dengan keputusan bekerjasama dengannya, doa saya filem ini akan dapat kutipan RM10 juta.
“Memang saya berdebar kerana ini adalah percubaan pertama dalam bisnes filem. Insya-Allah jika sambutan memberangsangkan jenama 6 Jilake tidak akan tamat di sini sebaliknya akan mempunyai kesinambungan selepas ini,” ujar Dr. Shasa yang ditemui pada majlis sidang media di ibu negara baru-baru ini.
Berbicara tentang judul 6 Jilake yang kedengaran agak kurang sopan, jelas Dr. Shasha tajuk tersebut dipilih Aziz sendiri selain mendapat persetujuan bersama pihak penerbitan.
“Bab kreatif daripada pemilihan pelakon hingga judul filem saya serahkan kepada Aziz. Mulanya judul filem ini agak panjang, akhirnya dipendek jadi 6 Jilake yang bagi saya mudah menarik perhatian orang ramai.
“Kami percaya dengan judul itu dan filem ini banyak mesej positif di dalamnya. Alhamdulillah, pihak kami tiada isu tentang tajuk kerana telah mendapat kelulusan daripada pihak Finas dan Lembaga Penapisan Filem (LPF),” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Shaha atau nama sebenarnya, Nur Shaha’ Ain Tan Sri Abd. Aziz yang berlatar belakang sebagai pakar audiologi terjun ke dunia seni kerana minat dan bagi memberi kesedaran tentang kesihatan pendengaran.
“Sebelum ini saya ada terbitkan travelog dan program animasi Kembara Utan. 6 Jilake adalah filem pertama saya sebagai seorang penerbit. Sepuluh tahun lalu, saya bermula dengan satu visi iaitu untuk mendidik masyarakat mengenai pentingnya pendengaran dan keseimbangan.
“Kini, saya memilih platform seni menerusi filem untuk memberi kesedaran tentang kesihatan pendengaran kerana saya percaya seni mampu memberi kesan lebih mendalam,” ujarnya yang menggabungkan kepakaran audiologi dengan elemen hiburan untuk menjangkau lebih ramai audiens.
Sebelum berani mengambil risiko untuk bergelar penerbit filem, Dr. Shasa pernah berada di titik paling bawah apabila sebanyak tujuh pusat kesihatan pendengarannya terpaksa ditutup kerana pandemik Covid-19.
“Itu fasa paling mencabar dalam hidup saya. Namun, saya tidak boleh menyerah. Saya bangkit dengan strategi baharu. Saya bangun semula, memperkukuhkan perkhidmatan dan makmal alat pendengaran kami, serta terus memperjuangkan kepentingan kesedaran pendengaran melalui program bersama NGO dan agensi kerajaan,” katanya yang kini mempunyai tujuh cawangan klinik seluruh Malaysia.
Filem 6 Jilake yang mendapat sentuhan pengarah prolifik tersohor, Aziz M Osman bakal ditayangkan di lebih 100 pawagam tempatan pada 24 April 2025. Bakal menjanjikan pengalaman baharu buat penonton, filem 6 Jilake dirumus dengan pelbagai kisah menarik mengambil inspirasi filem 6 Jahanam arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
6 Jilake menampilkan lakonan bintang berbakat seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar, Kamarool Yusof, Laura Olivia, Wan Gegau, Wan Raja, Mamak Puteh dan Jalil Hamid.