GENEVA, SWITZERLAND – Satu laporan dikeluarkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, lebih 800,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat bencana alam pada tahun lalu, jumlah tahunan tertinggi sejak rekod bermula pada 2008.
Laporan tahunan bertajuk Keadaan Iklim Global oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) itu mendedahkan bahawa negara-negara miskin terjejas teruk akibat taufan, kemarau, kebakaran hutan dan bencana lain.
Negara-negara kaya turut tidak terkecuali dengan bencana seperti banjir besar melanda bandar Valencia, Sepanyol serta kebakaran dahsyat di Kanada dan Amerika Syarikat yang memaksa lebih 300,000 orang meninggalkan rumah mereka.
“Sebagai tindak balas, WMO dan komuniti global sedang mempergiatkan usaha untuk mengukuhkan sistem amaran awal dan perkhidmatan iklim.
“Ketika ini, hanya separuh daripada semua negara di seluruh dunia mempunyai sistem amaran awal yang mencukupi,” kata ketua agensi itu, Celeste Saulo sambil menambah, WMO menyasarkan setiap negara dilindungi sistem tersebut menjelang akhir 2027.
Laporan sama turut menyenaraikan 151 kejadian cuaca ekstrem yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 2024, lapor akhbar The Guardian.
Suhu yang meningkat semasa gelombang haba memuncak pada 49.9 darjah Celsius di Carnarvon, Australia Barat, 49.7 darjah Celsius di bandar Tabas, Iran dan 48.5 darjah Celsius dalam gelombang haba seluruh negara di Mali.
Rekod hujan di Itali menyebabkan banjir, tanah runtuh dan bekalan elektrik terputus, hujan lebat memusnahkan beribu-ribu rumah di Senegal dan banjir kilat di Pakistan serta Brazil menyebabkan kerugian besar pada tanaman.
Enam taufan yang belum pernah berlaku sebelum ini melanda Filipina dalam masa kurang sebulan, manakala Vietnam dilanda Taufan Super Yagi yang menjejaskan 3.6 juta orang.
“Dunia terhumban jauh ke dalam krisis iklim dan buat pertama kalinya, kesemua 10 tahun paling panas dalam rekod berlaku dalam dekad yang lalu,” kata WMO. – AFP/AGENSI