PONTIAN – Menu taco resipi pempengaruh terkenal, Khairul Aming menjadi juadah terakhir buat seorang pembantu hotel apabila dia ditemui maut ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Hotel Wonderful, Pusat Perdagangan Pontian, di sini pagi tadi.
Muhammad Asyraf Azman, 31, ditemui meninggal dunia pada pukul 7 pagi selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dalam kejadian di Kilometer 11.5 Jalan Pontian-Kukup, Kampung Penerok di sini.
Menurut isterinya, Faeza Mohd Johari, 30, dia tidak menyangka kesungguhan arwah suaminya untuk menyedia menu viral Khairul Aming itu menjadi memori terakhir buat mereka.
“Suami saya memang bersungguh nak sediakan taco, kami buat dan itu adalah menu juadah terakhir dia jamah ketika berbuka puasa semalam.
“Tiada perubahan apa-apa pun, dia pergi kerja macam biasa pagi ini, cuma dia macam bersungguh-sungguh nak mengecat rumah orang tuanya dekat raya nanti,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian di sini hari ini.
Menurutnya, dia mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa suaminya pada pukul 7.30 pagi selepas menerima panggilan daripada anggota polis.
Katanya, dia terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati jenazah suaminya terbujur kaku telah ditutup dengan plastik hitam.
Sementara itu, ibu arwah Allahyarham Muhammad Asyraf, Kamicah Sumukarto Segar, 70, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Asyraf pada hari Isnin lalu.
“Kami tidak berbuka bersama, cuma dia membawa saya membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Pontian. Dia seorang anak yang baik, dia berjanji untuk mengecat bahagian hadapan rumah sebelum hari raya, namun hajatnya itu tidak kesampaian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE