JAKARTA – Seorang kanak-kanak berusia lima tahun mengundang perhatian ramai selepas menulis sepucuk surat kepada pihak berkuasa untuk mengatasi masalah bau sampah, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Kefas itu tinggal di kejiranan Jakarta Garden City, Jakarta Timur.
Surat tersebut ditulis untuk mengadu tentang bau sampah yang mengganggunya setiap hari sehingga membuatkan dia hilang selera makan.
“Tuan, hari ini bau sampah sangat kuat sehingga saya tidak ada selera untuk makan,” tulisnya di dalam surat itu.
Lebih menarik apabila surat itu ditulis menggunakan pensil.
Meskipun jarak rumahnya dengan tapak pelupusan sampah sekitar 800 meter, bau busuk yang kuat menyebabkan kawasan itu terjejas.
Kefas juga berharap agar tapak pelupusan tersebut dapat dipindahkan dari kawasan perumahannya. – AGENSI