LONDON – Seorang wanita di England mengundang perhatian ramai selepas menghempas beg tangannya ke wajah seorang lelaki yang bersenjatakan pisau, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan) di Magdalen Street, bandar Norwich pada 10 Mac lalu.
Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) menunjukkan seorang lelaki dikejar beberapa lelaki lain di bahu jalan.
Ketika mereka mula menumbuk sesama sendiri, seorang wanita secara tiba-tiba melemparkan bag tangannya ke wajah salah seorang lelaki itu.
Lelaki tersebut segera berundur dan kembali kepada rakannya sebelum bersemuka dengan wanita terbabit.
Masih belum jelas bagaimana pertelingkahan itu berakhir.
Polis Konstabulari Norfolk berkata, seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan kerana disyaki terlibat.
“Suspek disoal siasat di Balai Polis Wymondham sebelum diikat jamin untuk hadir ke perbicaraan mahkamah pada 11 Jun,” tambah polis. – AGENSI