MOSCOW – Seorang penyelam berdepan detik cemas apabila diserang seekor sotong gurita selepas menceroboh habitatnya di sebuah pantai di Russia, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku berhampiran Primorsky Krai awal bulan ini.
Rakaman video tular di media sosial memaparkan lelaki tersebut diserang haiwan marin itu selepas cuba mencucuknya dengan sebatang besi.
Sotong itu kemudian menyembur dakwat hitam sebelum merentap tangan mangsa.
Situasi bertambah cemas apabila ia bergerak pada leher lelaki tersebut sambil menguatkan sedutannya.
Mangsa cuba menarik sotong itu daripada wajahnya tetapi gagal, menyebabkan dia berenang ke permukaan air untuk mendapatkan udara dan bantuan.
Mangsa berjaya dibebaskan daripada sotong itu beberapa minit kemudian, lapor media tempatan.
Masih belum jelas sama ada penyelam terbabit mengalami kecederaan serius. – AGENSI