PUTRAJAYA – Pihak pembelaan hari ini berhujah Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam mensabitkan pertuduhan dan menjatuhkan hukuman terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam hujahannya, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, Mahkamah Tinggi juga gagal menimbangkan kenyataan Syed Saddiq, 33, apabila menganggap pembelaannya itu hanya penafian semata-mata.
Menurut peguam itu, pembelaan Syed Saddiq ialah beliau tidak pernah mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali dan bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun rasmi Armada.
Katanya, bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq telah memanggil saksi pembelaan ketiga, iaitu bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin untuk mencabar naratif pendakwaan.
“Dalam hal ini, hakim bicara telah gagal untuk mengambil kira kes pembelaan, dan ini telah menyebabkan pelanggaran terhadap Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah.
“Hak perayu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil telah terjejas teruk disebabkan oleh kegagalan untuk menimbangkan pelbagai hujahan serius yang dikemukakan oleh perayu pada akhir kes pembelaan. Kegagalan untuk mengambil kira pembelaan ini telah menjejaskan perayu,” katanya.
Beliau berkata, perayu seterusnya memberi keterangan bahawa sepanjang lima tahun bersama Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, beliau tidak pernah dipanggil untuk meluluskan dana melebihi RM500,000.
Katanya, Syed Saddiq menyatakan beliau tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kelulusan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) adalah satu prasyarat.
“Secara ringkasnya, perayu tidak bersubahat dalam melakukan kesalahan itu. Beliau kemudian memanggil Ulya Aqamah sebagai saksinya yang menyokong kes perayu dalam semua aspek,” katanya.
Prosiding pendengaran di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung lagi esok dengan pihak pendakwaan selaku responden akan memulakan hujahan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta, manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – KOSMO! ONLINE