BANDAR GAZA – Agensi pertahanan awam Gaza menyatakan hari ini bahawa 13 orang terbunuh dalam serangan udara tentera Israel sejak tengah malam semalam.
“Israel melancarkan beberapa serangan udara yang mengakibatkan kematian 13 orang dan berpuluh-puluh cedera. Ia termasuk wanita dan kanak-kanak di Khan Yunis dan Bandar Gaza,” kata jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal.
Israel pada semalam melancarkan serangan paling sengit di Semenanjung Gaza sejak gencatan senjata dengan kumpulan Hamas pada 19 Januari lalu.
Serangan tersebut yang berlaku selepas rundingan untuk melanjutkan gencatan senjata gagal, telah membunuh lebih 400 orang, kata kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran lewat semalam bahawa serangan itu hanya permulaan.
Menurutnya, rundingan akan datang dengan Hamas hanya akan berlaku ketika serangan dijalankan.
“Hamas sudah merasai kekuatan kami dalam tempoh 24 jam yang lalu. Saya berikrar kepada anda dan mereka: ini hanya permulaan,” katanya dalam satu kenyataan video. – AFP