KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu tidak menolak kemungkinan mengumumkan cuti khas sempena Hari Raya Aidilfitri pada 30 Mac depan bergantung kepada perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan berhubung cuti khas tersebut sudah dimuktamadkan di peringkat kerajaan negeri baru-baru ini.
“Saya akan maklum (cuti khas Aidilfitri 30 Mac) kemudian. Keputusan sudah ada cuma tunggu perkenan Tuanku (Sultan Mizan Zainal Abidin).
“Kita akan umumkan secara rasmi minggu depan,” katanya selepas menyampaikan Insentif Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma di sini hari ini.
Sebelum ini, sebahagian besar pekerja sektor awam dan swasta Terengganu memohon cuti khas bagi memudahkan persiapan menyambut Aidilfitri dijangka pada 1 April memandangkan 30 Mac iaitu Ahad masih merupakan hari bekerja buat negeri itu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu juga berusaha untuk mengembalikan pemberian Dana Raya kepada rakyat negeri ini berkelayakan yang kali terakhir diberikan pada dua tahun lalu.
Begitupun, beliau berkata, ia bergantung kepada kelulusan kewangan daripada Kementerian Kewangan. – KOSMO! ONLINE