PETALING JAYA – Polis merakam keterangan lima saksi berhubung video tular memaparkan Ismanira Ab Manaf dan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin di kawasan tempat letak motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, lima individu itu ialah ibu Zayn Rayyan, wanita yang memuat naik video tersebut, perakam video dan suaminya serta rakan perakam video.
“Perakam telah dikenal pasti dan diambil keterangan. Tujuan pemilik akaun TikTok memuat naik video di media sosial dipercayai sebagai tanda solidariti kepada Zayn Rayyan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada Ismanira berhubung satu video yang memaparkan dirinya dan Allahyarham Zayn Rayyan beberapa hari sebelum kanak-kanak tersebut ditemukan meninggal dunia.
Laporan itu dibuat di Sungai Buloh pada pukul 2.43 petang, 9 Mac lalu. Ismanira membuat laporan itu atas faktor keselamatan dirinya dan keluarga. – KOSMO! ONLINE