fbpx

‘Bagaimana Zharif nak jadi askar kalau tangan sudah hancur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Noor menunjukkan kesan darah cucunya (gambar kecil) akibat letupan mercun di pekarangan rumahnya di Kampung Baru, Kuala Nerang.

KUALA NERANG – “Saya sebak bila anak lelaki saya kata bagaimana Zharif nak jadi askar kalau tangan sudah hancur macam itu.”

Demikian kata Mohd. Noor Abdullah, 60, sambil mengalirkan air mata ketika menceritakan semula kejadian menimpa dua cucunya, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, dan Muhammad Aiman Naufal, 4, akibat bermain mercun.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam tadi itu, Muhammad Zharif Daniel mengalami kecederaan teruk dengan tangan kiri hancur hingga pergelangan tangan, manakala bawah pipi kanan terkoyak.

“Saya sedih bila abah dia (bapa mangsa) kata macam mana Zharif nak jadi askar kalau tangan dah tak ada, itu memang harapan dia nak Zharif jadi askar.

“Susah hati saya mengenangkan masa depannya memandangkan cucu saya itu akan mengalami kecacatan kekal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, di sini hari ini.

Katanya, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar bunyi letupan kuat kira-kira pukul 8.15 malam tadi.

“Saya berlari keluar dan terkejut melihat Zharif berlumuran darah kira-kira 10 meter dari rumah. Keadaannya sangat teruk yang mana tangan sebelah kiri hancur hingga pergelangan tangan, manakala bahagian bawah pipi sebelah kanan terkoyak,” ujarnya.

Menurut Mohd. Noor, dia hampir pengsan tetapi menguatkan semangat dengan mengambil sehelai baju dan membalut tangan cucunya itu.

“Cucu saya itu meraung sambil sebut sakit dan pedih, manakala adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, menangis sambil memanggil abangnya,” ujarnya.

Jelasnya, dia terus mengangkat Muhammad Zharif Daniel untuk dibawa ke Hospital Kuala Nerang menggunakan kereta dengan bantuan seorang rakan.

“Dalam perjalanan saya terserempak dengan bapa cucu saya itu dan memintanya menghantar Zharif ke hospital, sementara saya pulang untuk mengambil adiknya yang turut cedera.

“Saya pulang semula ke rumah dan ambil adiknya yang cedera melecur pada badan untuk dibawa ke hospital. Mereka kemudian dikejarkan dari Hospital Kuala Nerang ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ujarnya, dia dan ahli keluarga lain tidak mengetahui jenis mercun yang mengakibatkan dua beradik itu cedera.

“Di lokasi, saya jumpa cebisan daging cucu dan kesan darah pada dinding selain saki-baki mercun jenis telur naga. Ada juga serpihan botol air mineral yang dipercayai meletup dan berkemungkinan sejumlah mercun dimasukkan dalam botol itu sebelum dicucuh api.

“Mungkin sebab itu berlaku letupan kuat, mungkin juga ada mercun bola namun saya tidak pasti,” katanya.

Tambahnya, dia dan anak baru sahaja mahu berniaga daun palas bagi mengumpul duit untuk membuat persiapan raya termasuk membeli baju raya buat cucu.

“Kami bukan orang senang dan sambutan Aidilfitri kali ini suram kerana Zharif masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), manakala adiknya di wad biasa,” tambahnya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun cedera akibat bermain mercun jenis bola dekat rumahnya di Kampung Baru, di sini malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI