KUALA TERENGGANU – Seramai 471 atlet muda Terengganu yang cemerlang meraih pingat dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma di Sarawak pada tahun lalu menerima insentif kemenangan bernilai keseluruhan RM1.08 juta daripada kerajaan negeri Terengganu hari ini.
Ia merangkumi 414 atlet Sukma dan 57 atlet Para Sukma negeri ini termasuk dalam atlet terjun yang mencipta kontroversi sebelum ini kerana memakai pakaian mandi bertentangan dengan Garis Panduan Pemakaian Sukan Patuh Syariah Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, atlet Sukma menerima insentif keseluruhan RM927,000, manakala atlet Para Sukma pula RM155,000.
“Insentif bagi atlet Sukma dan Para Sukma Terengganu buat pertama kali diselaraskan sama rata, iaitu RM3,000 bagi pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa),” katanya pada majlis penyerahan insentif tersebut di sini hari ini.
Terengganu menduduki tempat kelima di belakang Sarawak, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang dengan kutipan 41 pingat emas, perak (36) dan gangsa (47) dalam temasya Sukma Sarawak.
Kontinjen Para Suka Terengganu pula berada di tempat kesembilan dengan kutipan 10 emas, perak (19 ) dan gangsa (15 ). – KOSMO! ONLINE