KUALA LUMPUR – Sebanyak 48 permohonan dengan geran berjumlah RM2.96 juta diluluskan di bawah Program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) sejak Oktober 2024.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, peratusan geran yang diberikan adalah sebanyak 50 peratus daripada kos projek yang layak dengan geran maksimum RM100,000.
“Seperti yang semua maklum, program I-BAP khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bersaiz kecil.
“Mengambil kira sambutan yang diterima, sukacita saya maklumkan permohonan Program I-BAP akan dibuka semula pada 7 April 2025 secara dalam talian,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penerima Geran I-BAP yang diadakan sempena Hari Terbuka Hab PMKS di sini hari ini.
Penerima geran di bawah Program I-BAP terlibat menerima surat tawaran geran antara RM10,000 hingga RM100,000 mengikut skop projek yang akan dilaksanakan oleh syarikat.
Ramanan berkata, bagi membolehkan lebih banyak PMKS mendapat manfaat di Bawah program I-BAP, kriteria kelayakan telah ditambah baik daripada segi jumlah jualan tahunan.
Jelas beliau, sebelum ini hanya syarikat mempunyai jualah tahunan melebihi RM300,000 setahun sahaja layak untuk membuat permohonan.
Kata beliau, kriteria itu telah dikemas kini iaitu tiada ketetapan had minimum jumlah jualan tahunan.
Tambah beliau, bagi mempercepatkan lagi proses penyaluran geran, keutamaan akan diberikan kepada projek yang telah selesai dilaksanakan iaitu bagi projek yang telah membuat pembayaran kepada pembekal bermula 1 Jun 2024.
“Bagi yang belum memulakan projek, syarikat perlu mengenal pasti keperluan berkaitan projek yang akan dilaksanakan.
“Projek-projek yang boleh dipohon masih lagi dalam skop sama meliputi pembelian mesin dan peralatan, pensijilan produk, adaptasi ICT dan e-Dagang serta pengiklanan dan promosi,” katanya. – KOSMO! ONLINE