TANGKAK – Seorang ejen produk kecantikan ‘terduduk’ selepas RM140,000 miliknya lesap diperdaya scammer menyamar sebagai anggota polis yang mendakwanya terlibat dalam kes penipuan pelaburan saham.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, pihak polis menerima laporan kejadian tersebut dari wanita warga tempatan berusia 49 tahun semalam.
“Mangsa dihubungi suspek melalui telefon yang menyamar sebagai anggota polis beberapa hari lalu dan memberitahu wanita berkenaan terlibat dalam kes penipuan pelaburan saham. Suspek mengugut mangsa dengan memberitahu akaun bank miliknya akan dibekukan bagi tujuan siasatan.
“Mangsa yang mempercayainya kemudian melakukan enam transaksi ke dalam empat akaun yang berbeza disyaki ‘mule account’ seperti mana diarahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Roslan berkata, menyedari dirinya sudah terjerat dengan sindiket penipuan itu tampil membuat laporan polis dan mengalami kerugian RM140,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO’ ONLINE