KUALA LUMPUR – Seramai 6,287 peserta telah diluluskan menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) setakat 17 Mac ini, ujar Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau berkata, jumlah tersebut adalah bilangan peserta yang menyertai Inisiatif Usahawatan Tani (Intan), Insiatif Usahawan Makanan (Insan) dan Basmi Miskin Tegar (BMT).
Katanya, di bawah IPR-INTAN, seramai 517 daripada 3,628 peserta yang diluluskan telah berjaya meraih hasil jualan bagi pusingan pertama.
“Secara umumnya, peserta berupaya meraih julat pendapatan bulanan berjumlah antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi pelaksanaan program ini.
“Bagaimanapun, memandangkan peserta IPR-INTAN diberikan elaun pra-penuaian bulanan berjumlah RM500, maka sebahagian besar daripada mereka telah berjaya meraih pendapatan melebihi RM1,700,” katanya pada sesi Dewan Negara, hari ini.
Tambah Hanifah, bagi IPR-INSAN pula, sejumlah 374 peserta program rintis telah mendapat manfaat daripada program ini dengan purata jualan harian peserta adalah antara RM90 hingga RM400.
Ujarnya, daripada jumlah peserta program tersebut, 119 peserta telah berjaya meraih purata hasil jualan melebihi RM1,700 berdasarkan rekod jualan bagi bulan Disember 2024 dan Januari 2025.
Sementara itu, Hanifah berkata di bawah IPR-BMT pula, sejumlah 2,285 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh negara telah diluluskan projek dan program berkaitan peningkatan pendapatan.
“Daripada jumlah berkenaan, seramai 411 peserta telah berjaya melepasi paras garis kemiskinan tegar iaitu RM1,198. Ini merangkumi 376 peserta yang telah berjaya meraih pendapatan minimum bulanan berjumlah RM1,700,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tuan Mohd. Hasbie Muda yang meminta menyatakan berapa ramaikah peserta program IPR mengikut kategori dan berapakah jumlah yang telah berjaya melepasi garis pendapatan RM1,700. – KOSMO! ONLINE