fbpx

Sarjan didakwa minta suapan gelang emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa meminta suapan seutas gelang emas di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta suapan berupa seutas gelang emas daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berkaitan kes pukul kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Khairi Aswadi Mohamad, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie di sini hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Khairi Aswadi didakwa meminta suapan itu daripada seorang wanita berusia 39 tahun di sebuah premis makanan segera di Taman Chengal, Temerloh, kira-kira pukul 2 petang pada 15 April 2023.

Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan ke atas wanita berkenaan yang disiasat berkaitan kes pukul.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad yang menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bercagar serta beberapa syarat tambahan.

Hakim membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Temerloh setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI